Dua pertiga daripada rakyat Malaysia percaya robot akan mengambil alih sebahagian besar daripada pek

Dua pertiga daripada rakyat Malaysia percaya robot akan mengambil alih sebahagian besar daripada pek
oleh

Penyelidikan baru YouGov mendedahkan 45% daripada golongan berusia 18-29 tahun percaya robot boleh melakukan pekerjaan mereka sekurang-kurangnya sama baik seperti mereka

Bayangan sebuah masyarakat utopia, di mana robot melakukan semua tugas manakala manusia menikmati semua masa terluang, kebanyakannya datang dan pergi. Perkembangan dalam genetik, kecerdasan buatan dan robotik bermakna bahawa robot sebaliknya boleh memusnahkan punca pendapatan merentasi populasi yang luas, dengan penyelidikan terbaru menunjukkan bahawa kira-kira 45% daripada aktiviti yang orang dibayar untuk melakukannya boleh diautomatikkan dalam beberapa dekad akan datang.

Namun begitu, data terbaru daripada YouGov Omnibus menunjukkan bahawa rakyat Malaysia secara berhati-hati berasa optimistik tentang kesan robot terhadap masyarakat. Secara keseluruhan, 7 daripada 10 rakyat Malaysia percaya bahawa robot akan menjadikan kehidupan kita lebih mudah dan 62% bersetuju bahawa robot boleh melakukan perkara-perkara yang manusia tidak mahu lakukan.

8 daripada 10 mahu robot melakukan kerja pembersihan untuk mereka

Kebanyakan rakyat Malaysia gembira untuk mengalu-alukan robot dalam kehidupan mereka, dengan hanya 1 dalam 20 mengatakan mereka tidak mahukan robot.

Daripada senarai dua belas fungsi yang boleh dilakukan, penggunaan paling popular untuk robot adalah untuk membantu membersihkan rumah, iaitu 8 daripada 10 responden ingin robot melakukannya. Pilihan popular lain termasuk keselamatan (dipilih oleh 65% daripada responden) dan bantuan di tempat kerja (dipilih oleh 53%).

Wanita dan lelaki secara umum nampaknya bersetuju tentang penggunaan robot untuk kerja-kerja rumah seperti membersihkan rumah dan berkebun. Walau bagaimanapun, mereka lebih berbelah bagi mengenai penggunaan robot untuk tugas-tugas seperti keselamatan (70% daripada lelaki mahu robot melakukan kerja keselamatan, manakala 60% daripada wanita menginginkannya) dan bantuan di tempat kerja (58% daripada lelaki mahu robot membantu mereka di tempat kerja, manakala 49% daripada wanita mahu perkara yang sama).

 

Hampir 1 daripada 7 orang percaya robot akan melakukan pekerjaan mereka dengan lebih baik berbanding mereka

Walaupun dapat melihat manfaat yang dibawa oleh robot, rakyat Malaysia turut mengenal pasti ancaman yang ditimbulkannya kepada prospek pekerjaan orang ramai; dua pertiga daripada rakyat Malaysia bersetuju bahawa robot akan mengambil alih pekerjaan daripada ramai di kalangan kita. Namun, pada masa ini, ramai yang secara peribadinya tidak berasa terancam oleh robot di tempat kerja, dengan hanya 1 daripada 7 percaya bahawa robot boleh melakukan pekerjaan mereka dengan lebih baik.

Generasi yang lebih muda berasa kurang pasti tentang jawatan mereka di tempat kerja. Walaupun 40% daripada mereka yang berumur 18-29 tahun berpendapat robot tidak akan dapat melakukan pekerjaan mereka dengan lebih baik, 59% daripada mereka yang berumur lebih 45 tahun berpendapat sebaliknya. Mereka yang berumur bawah 45 tahun juga lebih berkemungkinan untuk berpendapat bahawa robot boleh melakukan pekerjaan mereka sekurang-kurangnya sama baik dengan mereka. 45% daripada golongan berumur 18-29 tahun percaya robot boleh melakukan pekerjaan mereka sama baik atau lebih baik daripada mereka. Ini adalah benar untuk 39% daripada golongan berusia 30-44 tahun tetapi hanya 34% daripada mereka yang berumur lebih 45 tahun.

Dengan robot bersedia untuk merombak ekonomi kita, sudah pasti terdapat cabaran di hadapan. Hampir lapan daripada sepuluh rakyat Malaysia bersetuju bahawa robot perlu dikawal selia dengan teliti, menunjukkan bahawa pengawal selia perlu membentuk laluan baru dan sukar yang bertujuan untuk memaksimumkan manfaat daripada teknologi baharu tanpa mengurangkan peluang dan/atau pendapatan rakyat.

*Data dikumpul dalam talian antara 11 dan 28 September 2017 menggunakan panel YouGov seramai lebih 5 juta orang di seluruh dunia. Ia telah diwajarkan untuk mewakili populasi dalam talian. Saiz sampel: (n = Malaysia: 1,058)

Sumber imej: Getty Image