1 daripada 3 orang telah mengubah kelakuan mereka berdasarkan horoskop mereka

1 daripada 3 orang telah mengubah kelakuan mereka berdasarkan horoskop mereka
oleh

Penyelidikan baru YouGov mendedahkan hampir separuh daripada golongan muda mengambil serius tentang bintang mereka

Adakah anda seorang yang lembut seperti Gemini atau degil seperti Scorpio? Dan, adakah ini membuatkan anda serasi atau tidak serasi dengan si Libra menawan yang duduk di sebelah anda? Lebih tepat lagi, adakah anda percaya dengan horoskop?

Penyelidikan baru YouGov menunjukkan bahawa bintang kembali menjadi trend, dengan generasi yang lebih muda lebih berkemungkinan besar mempercayainya berbanding orang yang lebih tua daripada mereka. Secara keseluruhan, hanya empat dalam sepuluh (43%) daripada mereka yang ditinjau di APAC sama ada sangat atau agak mengambil serius tentang horoskop, tetapi angka ini meningkat kepada 48% bagi mereka yang berumur antara 16-29 tahun dan jatuh kepada 31% bagi mereka yang berusia lebih 45 tahun.

Penduduk Vietnam, China dan Thailand adalah yang paling mengambil serius tentang horoskop di rantau tersebut, iaitu 75%, 68% dan 52% masing-masing mengambil serius tentang horoskop. Sebaliknya, orang Malaysia, Singapura dan Australia adalah yang paling kurang berkemungkinan mengambil serius tentang horoskop, iaitu hanya 23%, 28% dan 29% masing-masing, mengambil serius tentang horoskop.

 

Majoriti responden telah memeriksa keserasian bintang mereka dengan bintang orang lain

Enam daripada sepuluh percaya bahawa bintang seseorang boleh meramalkan dengan tepat sifat dan ciri keperibadian mereka dan 55% telah memeriksa sama ada bintang mereka serasi dengan bintang orang lain. Ini meningkat kepada 62% di kalangan wanita dan jatuh kepada 49% di kalangan lelaki.

Satu pertiga (33%) daripada mereka yang ditinjau sebenarnya telah mengubah kelakuan mereka berdasarkan sesuatu yang mereka pernah baca dalam horoskop mereka. Peratusan yang sama daripada populasi (35%) mengatakan perasaan mereka terhadap seseorang yang mereka berminat untuk menjalinkan hubungan romantik akan berubah, sama ada “banyak” atau “sederhana” sekiranya mereka mendapati bintang mereka sangat serasi. Menariknya, bilangan responden yang mengatakan perasaan mereka akan berubah dengan “banyak” meningkat dua kali ganda jika mereka mendapati bintang mereka dianggap “sangat serasi” berbanding dengan “sangat tidak serasi”. Begitu juga, responden mengatakan perasaan mereka kurang berkemungkinan akan berubah sekiranya bintang mereka didapati “sangat tidak serasi”.

 

3 daripada 10 pernah membeli produk berkaitan horoskop sebelum ini

Horoskop juga merupakan perniagaan besar, dengan tiga daripada sepuluh (30%) mengatakan bahawa mereka sebelum ini pernah membeli produk berkaitan horoskop. Pembelian paling popular ialah aksesori, dibeli oleh kira-kira separuh (51%) daripada semua orang yang pernah membeli produk berkaitan horoskop. Produk lain yang popular termasuk batu permata yang menandakan sama ada lambang bintang atau bulan kelahiran (dibeli oleh 46%), pakaian (31%) dan alat tulis (29%).

*Data dikumpul dalam talian antara 14 dan 29 Ogos 2017 menggunakan panel YouGov seramai lebih 5 juta orang di seluruh dunia. Ia telah diwajarkan untuk mewakili populasi dalam talian. Saiz sampel: Asia Pasifik (n = 9.645; Australia: 1,008; China: 1,018: Hong Kong: 1,120; Indonesia: 1,045; Malaysia: 1,311; Filipina: 1,097; Singapura: 1,030; Thailand: 1,022; Vietnam: 1,003)