Ya kepada sandal, tidak kepada selipar – Panduan YouGov untuk pakaian pejabat

Ya kepada sandal, tidak kepada selipar – Panduan YouGov untuk pakaian pejabat
oleh

Pekerja lelaki tidak perlu lagi memakai tali leher, namun begitu, harap maaf – anda masih perlu mengenakan seluar panjang walaupun anda berasa panas!

Kaum lelaki yang ingin berasa selesa dengan memakai seluar pendek ke tempat kerja harus berfikir dua kali. Dengan hanya empat dalam sepuluh (39%) orang yang ditemu bual di seluruh Asia Pasifik bersetuju bahawa seluar pendek adalah pakaian yang boleh diterima untuk kaum lelaki di tempat kerja, keputusan majoriti adalah pekerja lelaki akan terus menderita kepanasan di dalam pejabat. Rakan sekerja wanita mereka tidak menghadapi masalah seperti ini, dengan dua pertiga (66%) orang bersetuju bahawa wanita boleh memakai skirt pendek atas paras lutut.

Walaupun terdapat persamaan antara dua barangan kasut ini, perbezaan pendapat mengenai sandal vs. selipar adalah sangat jelas. Hanya 35% orang yang berpendapat bahawa ia boleh diterima untuk selipar dipakai di pejabat, berbanding 56% untuk sandal. Walaupun sandal pejabat mungkin dilihat sebagai kasut pilihan pekerja wanita (63% wanita merasakan ia boleh diterima), ia juga dilihat sebagai lebih diterima oleh pekerja lelaki berbanding tidak (49% vs 46%).

Pekerja lelaki yang ingin bahagian atas badan mereka berasa selesa dan tidak panas mungkin turut kecewa apabila mengetahui bahawa tidak sampai satu dalam tiga orang yang merasakan memakai anak baju (vest) tanpa lengan di pejabat boleh diterima, walaupun satu rahmat kecil diberikan oleh fakta bahawa ramai orang yang merasakan bahawa adalah sesuatu yang bagus untuk mereka tidak perlu memakai tali leher, dengan 87% menyokongnya dan hanya 9% yang menentang.

 

Pemakaian sarung betis (legging) di tempat kerja mencetuskan percanggahan pendapat yang paling ketara.

Pemakaian sarung betis (legging) di tempat kerja terbukti mencetuskan percanggahan pendapat yang paling ketara. Walaupun diterima secara meluas di Vietnam (73%), Singapura (67%), Thailand (59%), Filipina (57%) dan Australia (50%), sebahagian besar responden di China (71%), Indonesia (54%) dan Malaysia (52%) berpendapat sarung betis tidak boleh diterima sebagai pakaian pejabat. Warga Hong Kong terbahagi dua, dengan tiada majoriti bagi kedua-dua belah; 48% yakin pemakaian sarung betis boleh diterima dan 38% yakin yang ia tidak boleh diterima di tempat kerja.

Bukan sesuatu yang mengejutkan, generasi muda lebih menerima hampir semua item pakaian di tempat kerja, kecuali wanita memakai skirt atas paras lutut dan lelaki tidak memakai tali leher. Jurang generasi paling jelas kelihatan apabila berkenaan baju panas berhud; sementara hanya satu pertiga (35%) daripada mereka yang berumur 55 tahun ke atas yakin bahawa ia adalah pakaian pejabat yang boleh diterima, hampir enam dalam sepuluh (58%) yang berumur 16-24 tahun menerima baju panas berhud di tempat kerja.

*Data dikumpul dalam talian antara 14 dan 29 Ogos 2017 menggunakan panel YouGov seramai lebih 5 juta orang di seluruh dunia. Ia telah diwajarkan untuk mewakili populasi dalam talian. Saiz sampel: Asia Pasifik (n = 9.645; Australia: 1,008; China: 1,018: Hong Kong: 1,120; Indonesia: 1,045; Malaysia: 1,311; Filipina: 1,097; Singapura: 1,030; Thailand: 1,022; Vietnam: 1,003)