75% di APAC berfikir hak ibu untuk menyusukan awam perlu dilindungi oleh undang-undang

75% di APAC berfikir hak ibu untuk menyusukan awam perlu dilindungi oleh undang-undang
oleh

Di kebanyakan bahagian di Amerika dan Eropah, hak seseorang ibu untuk menyusukan anak di tempat awam dilindungi oleh undang-undang. Malah, syarikat-syarikat di sana boleh didenda kerana menghalang bayi daripada diberikan susu ibu. Namun begitu, di APAC, hak seseorang ibu untuk menyusukan anak di kawasan awam tidak begitu dilindungi. Sejauh manakah orang ramai di APAC berasa selesa melihat golongan ibu menyusukan anak di kawasan awam? YouGov, firma penyelidikan dalam talian yang terkemuka di dunia, meninjau 9,242 orang di APAC untuk memahami penerimaan terhadap penyusuan susu ibu di khalayak ramai.

77% daripada responden APAC berpendapat penyusuan susu ibu di khalayak ramai boleh diterima

Secara amnya, penerimaan terhadap penyusuan susu ibu di kawasan awam adalah tinggi di seluruh APAC. Lebih daripada 3 daripada 4 orang yang ditemu bual di APAC berpendapat ia adalah sesuatu yang boleh diterima untuk golongan ibu menyusukan bayi mereka di khalayak ramai. Tahap penerimaan adalah paling tinggi di Australia (87%), Hong Kong (87%) dan Thailand (85%). Walau bagaimanapun, orang ramai di Indonesia adalah yang paling kurang berkemungkinan untuk berpendapat bahawa penyusuan susu ibu di khalayak ramai adalah sesuatu yang boleh diterima, dengan hanya 61% mengatakan ia adalah sesuatu yang boleh diterima untuk seseorang wanita menyusukan anak di khalayak ramai.

Responden yang lebih muda dan bujang kurang cenderung untuk menyokong penyusuan susu ibu di khalayak ramai

Melihat pada tahap penerimaan di seluruh kumpulan umur yang berbeza, generasi yang lebih muda cenderung untuk bersikap kurang bertoleransi berbanding generasi yang lebih tua terhadap penyusuan susu ibu di khalayak ramai, dengan hanya 74% daripada responden berumur antara 16-34 tahun, berbanding dengan 80% daripada responden yang berumur 35 tahun atau ke atas mengatakan penyusuan susu ibu di khalayak ramai boleh diterima.

Responden bujang (74%) juga kurang menyokong penyusuan susu ibu di khalayak ramai berbanding responden yang sudah berkahwin (81%).

Apa yang menarik, lebih ramai responden lelaki (78%) berbanding responden wanita (76%) berpendapat penyusuan susu ibu di kawasan awam adalah sesuatu yang boleh diterima.

Kurang daripada 10% responden APAC merasakan bahawa hak seseorang ibu untuk menyusukan anak di khalayak ramai tidak perlu dilindungi oleh undang-undang

Adakah hak seseorang ibu untuk menyusukan anak di khalayak ramai perlu dilindungi oleh undang-undang? Kebanyakan responden APAC menyokong perkara ini, dengan 75% mengatakan hak seseorang ibu untuk menyusukan anak di khalayak ramai perlu dilindungi oleh undang-undang, dan hanya 9% mengatakan ia tidak perlu

Walaupun Singapura mempunyai tahap penerimaan yang tinggi bagi penyusuan susu ibu di khalayak ramai (79%), mereka adalah yang paling kurang berkemungkinan untuk menyokong undang-undang dengan hanya 65% bersetuju bahawa hak seseorang ibu untuk menyusukan anak di khalayak ramai perlu dilindungi. Ini adalah lebih rendah daripada warga Indonesia (yang paling kurang berkemungkinan untuk berpendapat ia boleh diterima), iaitu 71% daripada responden bersetuju dengan undang-undang bagi perlindungan penyusuan susu ibu di khalayak ramai.

Data dikumpulkan dalam talian antara 26 Mac hingga 4 Apr 2017 menggunakan panel YouGov seramai lebih 5 juta orang di seluruh dunia. Ia diwajarkan untuk mewakili populasi dalam talian. Saiz sampel: Asia Pasifik (n = 9,242; Australia: 1,001; Hong Kong: 911; Indonesia: 1,140; Malaysia: 1,734; Filipina: 1,185; Singapura: 1,055; Thailand: 1,181; Vietnam: 1,035)