42% daripada responden berminat untuk membuat panggilan VoIP dalam penerbangan pada masa hadapan

42% daripada responden berminat untuk membuat panggilan VoIP dalam penerbangan pada masa hadapan
oleh

Bercuti di luar negara sudah semestinya sesuatu yang menarik. Tetapi bukan semua orang suka berada dalam penerbangan. Banyak syarikat penerbangan memperkenalkan ciri-ciri baharu untuk menjadikan pengalaman semasa dalam penerbangan lebih menggembirakan. Tetapi bagaimana perasaan orang ramai tentang ciri-ciri baharu ini dan apa lagi yang perlu dilakukan untuk menambah baik pengalaman semasa penerbangan secara keseluruhan? Kaji selidik YouGov yang terbaru tentang perjalanan udara boleh memberi beberapa idea kepada syarikat penerbangan.

Responden APAC menganggap kelewatan penerbangan sebagai aspek yang paling teruk bagi perjalanan udara

Apabila ditanya tentang aspek perjalanan udara yang paling teruk, kelewatan penerbangan menduduki tempat teratas senarai responden APAC dan harga tambang perjalanan udara yang tinggi berada di tempat kedua, dengan 57% dan 40% daripada responden APAC, masing-masing, menyatakannya sebagai satu daripada tiga aspek perjalanan udara yang paling teruk. Ini diikuti oleh tempat duduk yang tidak selesa, risiko keselamatan dan kekurangan ruang letak kaki (dengan 38%, 35% dan 26% daripada responden APAC, masing-masing, memilihnya sebagai salah satu daripada tiga aspek yang paling teruk).

Lebih 60% daripada responden APAC bersedia untuk membayar sehingga US$5 untuk mengakses internet dalam pesawat

Walaupun hanya 10% daripada responden APAC mengatakan kekurangan kesambungan adalah salah satu daripada tiga aspek perjalanan udara yang paling teruk, banyak syarikat penerbangan memperkenalkan akses internet dalam penerbangan supaya penumpang dapat terus berhubung sepanjang perjalanan udara mereka. Hampir satu daripada lima responden APAC pernah mencuba akses internet dalam penerbangan sebelum ini dan ingin melakukannya lagi pada masa akan datang. Dan, hampir separuh daripada responden APAC belum mencuba akses internet dalam penerbangan sebelum ini tetapi akan mempertimbangkan untuk berbuat demikian pada masa akan datang.

Ini sepatutnya satu berita gembira kepada syarikat penerbangan kerana kemajuan seperti ini pada pesawat nampaknya mendapat sambutan yang amat baik di APAC. Walau bagaimanapun, bajet turut menjadi kebimbangan kerana majoriti responden APAC (64%) hanya bersedia membayar sehingga USD5 untuk mengakses perkhidmatan internet dalam penerbangan, manakala kurang daripada 30% bersedia untuk membayar sehingga USD10.

2 daripada 5 responden APAC menyukai idea panggilan VoIP dalam penerbangan

Untuk meningkatkan kesambungan semasa penerbangan, sesetengah syarikat penerbangan turut mencadangkan perkhidmatan baharu seperti membuat panggilan VoIP semasa penerbangan. Jika panggilan VoIP dalam penerbangan disediakan pada masa hadapan, adakah responden APAC ingin mencuba perkhidmatan tersebut? Lebih 40% daripada responden APAC menyatakan minat untuk membuat panggilan VoIP dalam penerbangan pada masa hadapan. Namun begitu, 65% daripada responden APAC turut berpendapat ia adalah sesuatu yang menjengkelkan untuk duduk bersebelahan dengan seseorang yang membuat panggilan VoIP semasa penerbangan. Disebabkan ini, hampir 80% daripada responden APAC berpendapat syarikat penerbangan perlu memberi penumpang pilihan untuk duduk di bahagian yang berbeza di dalam pesawat di mana panggilan dibenarkan dan tidak dibenarkan – Mungkin syarikat penerbangan perlu mempertimbangkan berbuat demikian, maka mereka yang ingin membuat panggilan VoIP dalam penerbangan bebas untuk berbuat demikian dalam pesawat, manakala mereka yang tidak ingin berbuat demikian tidak akan terganggu.

Warga Filipina paling menunjukkan kebimbangan tentang isu-isu keselamatan dan teknikal yang timbul daripada perjalanan udara.

Walau bagaimanapun, meskipun terdapat kemajuan baharu ini pada pesawat, syarikat penerbangan juga perlu menangani beberapa kebimbangan lain pelanggan mereka. 47% daripada responden APAC sangat bimbang tentang isu-isu keselamatan (cth. keganasan, pengeboman) semasa dalam penerbangan. Warga Filipina merupakan kumpulan yang paling bimbang di APAC, dengan 82% mengatakan mereka sangat bimbang tentang isu-isu keselamatan. Apa yang menarik, warga China adalah yang paling kurang bimbang berbanding yang lain, dengan hanya 29% daripada responden China mengatakan mereka sangat bimbang tentang isu-isu keselamatan. Isu-isu teknikal turut dianggap sebagai satu masalah di kalangan responden APAC. 45% daripada responden APAC mengatakan mereka sangat bimbang tentang isu-isu teknikal (cth. kerosakan pesawat) semasa penerbangan. Responden di Malaysia dan Filipina adalah yang paling bimbang tentang isu ini (65% dan 77%), manakala responden Hong Kong dan Australia adalah yang paling kurang bimbang (dengan hanya 23% dan 25% daripada responden mengatakan mereka sangat bimbang tentang isu-isu teknikal pada pesawat).

Data telah dikumpul daripada penyelidikan di kalangan ahli-ahli panel YouGov dan telah diambil sebagai wakil populasi dalam talian. Saiz sampel: Asia Pasifik (n = 9,202; Australia: 1,005; China: 1,007; Hong Kong: 1,150; Indonesia: 895; Malaysia: 1,062; Filipina: 1,020; Singapura: 1,015; Thailand: 1,046; Vietnam: 1,002)