Dua daripada lima responden APAC berfikir penerbangan angkasa komersial akan dibuat selepas 2025

Dua daripada lima responden APAC berfikir penerbangan angkasa komersial akan dibuat selepas 2025
oleh

Teknologi memberikan kita kemudahan dan memperbaiki taraf hidup kita. Sepanjang sedekad yang lalu, kita menyaksikan banyak kemajuan yang kita mungkin tidak pernah terfikir sebelum ini. Kemunculan telefon pintar, aplikasi mudah alih dan rangkaian sosial, telah menjadi kejutan yang menyenangkan kepada kebanyakan daripada kita. Walaupun semua kemajuan teknologi ini mungkin bermula dengan imaginasi, pernahkah anda terfikir tentang inovasi teknologi seterusnya yang akan mengubah kehidupan kita sepenuhnya? YouGov, salah sebuah firma penyelidikan dalam talian yang utama di dunia, membuat tinjauan ke atas 9,443 orang di seluruh Asia Pasifik, untuk menyelidiki apakah teknologi dan/atau kemajuan yang orang ramai paling ingin lihat dalam waktu terdekat ini. Mari kita berfikir di luar kotak!

Antara sembilan teknologi dan kemajuan yang ditinjau, penerbangan komersial ke angkasa lepas, kereta terbang dan robot / kecerdasan buatan yang boleh menyerupai manusia, adalah yang dianggap paling boleh dicapai secara saintifik pada masa hadapan, dengan hanya 6%, 9% dan 9% daripada responden APAC berpendapat ia sama sekali tidak akan berlaku dalam kehidupan sebenar.  Malah, lebih 40% responden berpendapat bahawa penerbangan komersial ke angkasa lepas berkemungkinan besar akan dapat dilaksanakan selepas 2025.

Sebaliknya, walaupun pada hakikatnya 16% daripada responden APAC paling menginginkan kembara masa berlaku pada masa hadapan, 43% daripada responden berpendapat ia tidak akan dapat dilaksanakan dalam kehidupan sebenar. Kemajuan lain yang orang ramai di APAC ingin lihat dalam kehidupan sebenar termasuklah kereta terbang (18%), teleportasi (12%) dan teknologi yang boleh dikawal oleh pemikiran manusia (cth. minda yang mengawal anggota badan robot, menulis mesej teks / SMS dengan memikirkannya) (11%).

Indonesia khususnya mempunyai keinginan besar terhadap kereta terbang (41%) dan robot / kecerdasan buatan yang boleh menyerupai manusia (19%), dengan lebih daripada dua kali ganda purata serantau (dengan 18% dan 8%) mengatakan paling menginginkan kemajuan ini berlaku. Apa yang menarik, warga Australia mempunyai pendapat yang berbeza, dengan kurang daripada separuh purata serantau lebih suka melihat kereta terbang (8%) dan robot / kecerdasan buatan yang boleh menyerupai manusia (4%) pada masa hadapan.

 

Pengklonan manusia dianggap sebagai kemajuan teknologi yang paling boleh memudaratkan manusia

Kami juga melihat korelasi yang tinggi antara keinginan manusia terhadap kemajuan teknologi dan bagaimana kemajuan teknologi boleh memanfaatkan manusia. Apabila kami menanya kemajuan teknologi mana yang boleh memanfaatkan manusia, teknologi yang boleh dikawal oleh pemikiran manusia menduduki tempat teratas dalam senarai tersebut (39%), diikuti oleh kereta terbang (36%), dan keupayaan seseorang untuk tinggal selama-lamanya / untuk tempoh masa yang tidak pasti di angkasa lepas (31%).

Walau bagaimanapun, sentiasa terdapat dua aspek yang berbeza pada suatu situasi yang sama. Bukan semua kemajuan teknologi dialu-alukan oleh responden APAC. Lebih daripada separuh responden APAC (55%) berpendapat pengklonan manusia boleh memudaratkan manusia. Kemajuan teknologi lain yang dianggap memudaratkan manusia termasuklah peranti halimunan / menyelubung (iaitu peranti yang membuatkan pengguna tidak dapat dilihat atau kelihatan seperti sesuatu / seseorang yang lain)(39%), kembara masa (26%) dan robot / kecerdasan buatan yang boleh menyerupai manusia (26%).

Walaupun kemajuan teknologi ini kelihatan jauh daripada jangkauan kita pada ketika ini, ramai orang berpendapat ia bukanlah sekadar suatu impian.  Hampir 20% daripada responden APAC berpendapat robot / kecerdasan buatan yang boleh menyerupai manusia (19%), teknologi yang boleh dikawal oleh pemikiran manusia (18%), penerbangan komersial ke angkasa lepas (18%), dan kereta terbang (17%), akan boleh dicapai secara saintifik menjelang 2025! Mari kita semua nantikan masa depan yang lebih baik!

 

Data telah dikumpul daripada penyelidikan di kalangan ahli-ahli panel YouGov dan telah diambil sebagai wakil populasi dalam talian. Saiz sampel: Asia Pasifik (n = 9,443; Australia: 1,005; China: 1,021; Hong Kong: 980; Indonesia: 1,003; Malaysia: 1,369; Filipina: 1,024; Singapura: 1,050; Thailand: 1,009; Vietnam: 982)