Pencalonan Oscars mempengaruhi hanya 12% daripada kaki wayang

Pencalonan Oscars mempengaruhi hanya 12% daripada kaki wayang
oleh

Penyelidikan baharu YouGov juga mendedahkan bahawa 30% daripada kaki wayang tiba lewat agar mereka terlepas masa iklan

Ia adalah keputusan rasmi. Musim anugerah tiba lagi dan Oscars minggu ni akan menentukan pemenang besar Hollywood dari tahun lalu. Tetapi, berbanding memberi tumpuan terhadap masa lalu, YouGov, salah sebuah firma penyelidikan terkemuka di dunia, meminta orang ramai di seluruh Asia Pasifik menyatakan filem sinematik yang membuatkan mereka paling teruja tahun ini.

 

“Fast & Furious 8” merupakan filem tahun ini yang paling dinanti-nantikan

Hasil tinjauan daripada 13 filem yang bakal ditayangkan*, “Fast & Furious 8” adalah yang paling dinanti-nantikan, dipilih oleh 18% responden sebagai filem yang paling mereka tunggu untuk tahun ini. “Transformers: The Last Knight” dan “Pirates of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales” juga mendapat skor yang tinggi, dengan 13% dan 10% responden tidak sabar-sabar menantikan kemunculan filem-filem ini.

Kaki wayang yang lebih muda lebih teruja menantikan kemunculan filem "Beauty and the Beast" berbanding generasi yang lebih tua; 14% daripada mereka yang berusia 16-24 tahun adalah yang paling tidak sabar untuk tayangannya, yang mana peratusan mereka adalah lebih tiga kali ganda daripada mereka yang berumur 55 tahun ke atas (4%).

Yang menghairankan, beberapa filem bajet tinggi mendapat skor terendah; “Kong: Skull Island”, “Lego Batman” dan “Logan” kesemuanya menarik hanya 2% daripada keutamaan pilihan pertama daripada responden.

Walaupun tahap keterujaan untuk beberapa filem aksi terbesar yang ditetapkan untuk tayangan tahun ini adalah rendah, filem aksi adalah popular di seluruh Asia Pasifik, dengan 55% daripada responden menyebutnya sebagai salah satu daripada tiga genre utama yang menjadi kegemaran mereka. Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila filem aksi adalah lebih popular di kalangan kaum lelaki berbanding wanita, dengan 67% lelaki dan 43% wanita menyenaraikannya sebagai salah satu daripada tiga genre filem utama mereka. Ternyata stereotaip adalah benar, sains fiksyen juga lebih popular di kalangan lelaki berbanding wanita, disukai oleh 32% lelaki dan 19% wanita.

Sebaliknya, filem percintaan adalah tiga kali lebih popular di kalangan wanita berbanding lelaki; 30% daripada wanita pula menyatakan bahawa percintaan merupakan salah satu genre kegemaran mereka berbanding hanya 10% bagi kaum lelaki. Walau bagaimanapun, cita rasa bertumpu sekitar genre komedi (disukai oleh 45% lelaki dan 52% wanita) dan animasi (disukai oleh 22% lelaki dan 30% wanita).

Menonton filem dalam bahasa asing adalah kurang popular di Australia, di mana 35% daripada pengguna tidak menonton filem dalam bahasa selain daripada bahasa mereka sendiri; lebih daripada empat kali purata serantau sebanyak 8%. Di rantau ini, tiga suku (74%) daripada mereka yang menonton filem dalam bahasa asing lebih menyukai sari kata berbanding alih suara (18%). Walau bagaimanapun, alih suara adalah yang paling popular di Vietnam, di mana 43% lebih menyukainya.

 

65% pengguna mengetahui tentang tayangan filem baharu melalui media sosial

Faktor yang paling penting bagi pengguna apabila membuat keputusan sama ada ingin menonton filem di pawagam adalah jalan cerita (dilihat sebagai satu pertimbangan yang penting oleh 52% responden). Faktor pendorong lain termasuklah pelakon (penting bagi 48% responden), genre filem (48%) dan sedutan filem yang telah dilihat oleh pengguna (45%).

Publisiti berkenaan filem adalah yang paling penting di China, di mana 40% daripada responden mengatakan bahawa ia adalah faktor yang mempengaruhi keputusan mereka untuk menonton filem di pawagam, manakala rakyat Filipina adalah yang paling mudah terpengaruh dengan penggunaan kesan khas (30%)

Pencalonan anugerah, termasuk Oskar, nampaknya hanya mempunyai sedikit pengaruh di kalangan pengguna; hanya 12% mengatakan bahawa pencalonan sedemikian mempengaruhi keputusan mereka untuk melihat filem.

Kebanyakan daripada gembar-gembur yang keluaran filem baharu datang daripada media sosial, dengan 65% daripada pengguna mengetahui tentang filem akan datang melalui cara ini. Walau bagaimanapun, terdapat satu jurang generasi yang ketara antara pelbagai peringkat umur berkenaan cara mereka mengetahui tentang filem; tiga suku daripada remaja berumur 16-24 tahun (74%) mengetahui tentang filem baharu melalui media sosial manakala hanya 37% bagi mereka yang berumur 55 tahun ke atas.

Sebaliknya, 41% daripada responden yang berumur 55 tahun ke atas mengetahui mengenai filem baharu melalui akhbar berbanding hanya 13% bagi remaja berumur 16-24 tahun.

Merentasi generasi, selain daripada media sosial, iklan TV, hebahan dari mulut ke mulut dan iklan pawagam adalah tapak utama bagi mengetahui mengenai filem baharu, masing-masing digunakan oleh 35%, 34% dan 33% pengguna.

 

Separuh daripada pengguna memberi lebih tumpuan kepada iklan pawagam berbanding iklan di TV

Pergi ke pawagam adalah lebih daripada sekadar menonton filem dan iklan dilihat oleh banyak pihak sebagai penting kepada pengalaman menonton di pawagam. Lebih separuh daripada penduduk Asia Pasifik (57%) merasakan bahawa iklan komersial yang ditunjukkan sebelum tayangan filem membantu menyediakan mood. Ini meningkat kepada hampir tiga suku di Filipina (72%), 63% di Thailand dan 61% di Malaysia.

Hampir dua pertiga daripada responden (62%) juga bersetuju bahawa pengiklanan pawagam adalah cara yang baik untuk mengetahui tentang produk baru dan 61% bersetuju bahawa ia membuatkan mereka sentiasa mengikuti perkembangan terkini yang berlaku di kawasan setempat.

Separuh daripada pengguna (51%) mendapati bahawa pengiklanan pawagam adalah lebih kreatif dan/atau menghiburkan berbanding bentuk pengiklanan yang lain dan kira-kira jumlah yang sama (50%) juga mengaku yang mereka memberi lebih perhatian kepada iklan pawagam berbanding iklan TV.

Walau bagaimanapun, tidak semua pengguna menghayati iklan. Lebih daripada satu pertiga responden (37%) mengakui bahawa mereka tidak menghiraukan iklan-iklan di pawagam, terutamanya di China di mana ini meningkat kepada hampir separuh daripada responden (46%). Sebahagian besar (30%) juga mengaku tiba lewat agar terlepas iklan, terutamanya di Thailand, di mana (38%) telah berbuat demikian.