Hampir 40% daripada responden APAC sudah melanggar resolusi Tahun Baharu mereka pada bulan Februari

Hampir 40% daripada responden APAC sudah melanggar resolusi Tahun Baharu mereka pada bulan Februari
oleh

Penyelidikan YouGov mendapati seramai 96% daripada responden APAC telah membuat ikrar kepada diri mereka untuk tahun 2017. Walaupun resolusi untuk berjimat adalah yang paling biasa pada pandangan responden APAC, resolusi kesihatan turut kukuh di fikiran mereka. Namun, bulan pertama 2017 kini sudah berlalu dan berapa ramai orang yang masih berpegang kepada resolusi Tahun Baharu mereka?

5 resolusi teratas Tahun Baharu di APAC adalah: menjimatkan lebih banyak wang (67%), makan dengan lebih sihat (52%), melancong ke satu atau lebih tempat yang belum pernah saya lawati (48%), kurangkan berat badan atau menjadi lebih cergas (46%), dan mendapatkan keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik (39%).

Walaupun menjimatkan lebih banyak wang merupakan resolusi Tahun Baharu teratas di seluruh 9 negara APAC yang ditemubual, warga Filipina adalah yang paling ramai berikrar untuk melakukannya (82%), dua kali ganda daripada bilangan warga Australia yang berikrar untuk melakukan perkara yang sama bagi tahun baharu (41%).

Selain wang, responden dari Filipina dan Vietnam juga prihatin tentang penampilan, dengan 43% dan 57% daripada mereka berkata mereka ingin lebih mengambil berat tentang penampilan mereka pada Tahun Baharu. Berbeza daripada negara APAC lain yang ditemubual, kelihatan kemas dan rapi juga salah satu daripada 5 resolusi Tahun Baharu teratas di dua negara ini.

Sebaliknya, mendapatkan tidur yang lebih banyak muncul sebagai salah satu daripada 5 resolusi Tahun Baharu teratas di Australia (26%), Hong Kong (43%), Singapura (43%) dan Thailand (38%); manakala bertemu rakan/keluarga dengan lebih kerap turut dilihat sebagai 5 resolusi teratas di Indonesia (36%) dan Vietnam (53%).

 

 

Rakyat Australia adalah yang paling kurang berkemungkinan membuat resolusi bagi tahun 2017

Golongan muda lebih berkemungkinan membuat resolusi berbanding mereka yang lebih tua, dengan hanya 4% daripada mereka yang berusia 16-34 tahun mengatakan mereka tidak merancang untuk membuat sebarang resolusi untuk tahun 2017, berbanding 24% daripada mereka yang berusia 35+ tahun.

Apa yang menarik, seorang daripada lima warga Australia berkata mereka tidak merancang untuk membuat sebarang resolusi untuk tahun 2017, iaitu lima kali lebih banyak daripada purata serantau (4%), dan dua puluh kali lebih banyak daripada China (1%) dan Indonesia (2%). Ini selaras dengan dapatan bahawa hampir tiga daripada sepuluh warga Australia (27%) berkata mereka sebenarnya tidak pernah membuat resolusi Tahun Baharu sepanjang hidup mereka, iaitu lebih daripada dua kali ganda purata serantau sebanyak 12%. 

Warga China adalah yang paling berkemungkinan mengekalkan resolusi Tahun Baharu mereka

Kini setelah berlalunya bulan pertama 2017, berapa lama lagi orang boleh mengekalkan resolusi Tahun Baharu mereka? Separuh daripada responden berkata bahawa secara purata mereka dapat mengekalkan resolusi mereka lebih daripada sebulan, manakala 38% melanggarnya dalam tempoh sebulan.  Walaupun golongan muda lebih berkemungkinan membuat resolusi Tahun Baharu, mereka juga lebih berkemungkinan melanggar resolusi mereka berbanding generasi yang lebih tua. 44% daripada mereka yang berusia 16-34 tahun berkata mereka mengambil masa sehingga sebulan secara purata untuk melanggar resolusi Tahun Baharu, manakala hanya 31% daripada mereka yang berusia 35+ tahun berkata demikian.

Lebih daripada satu perlima responden di China berkata mereka tidak pernah berhasrat untuk melanggar resolusi tahun baharu mereka (22%), iaitu jauh lebih tinggi berbanding purata serantau sebanyak 16%, dan dua kali ganda daripada warga Filipina yang berkata demikian (11%).

Ingin tahu apakah resolusi warga Britain untuk Tahun Baharu? Lihatlah tinjauan UK kami.

Data telah dikumpul daripada penyelidikan di kalangan ahli-ahli panel YouGov dan telah diambil sebagai wakil populasi dalam talian. Saiz sampel: Asia Pasifik (n = 9,799; Australia: 1,004; China: 1,019; Hong Kong: 1,005; Indonesia: 1,189; Malaysia: 1,249; Filipina: 1,097; Singapura: 1,070; Thailand: 1,156; Vietnam: 1,010)