Responden di Asia Pasifik paling ingin melihat perlumbaan Formula 1 yang baharu di Hong Kong

Responden di Asia Pasifik paling ingin melihat perlumbaan Formula 1 yang baharu di Hong Kong
oleh

Khabar angin baru-baru ini telah menimbulkan persoalan tentang masa depan Formula 1 dalam beberapa perlumbaan ternamanya di Asia Pasifik. Pada bulan lepas, dilaporkan bahawa Grand Prix 2018 Malaysia akan menjadi yang perlumbaan terakhir di Malaysia. Liputan berita turut menyatakan bahawa pemilik F1 iaitu Bernie Ecclestone bercadang untuk turut menamatkan perlumbaan di Singapura. Walaupun ini kemudiannya telah dinafikan, spekulasi tersebut masih menyelubungi nasib F1 Singapura.

Kehilangan satu, dan mungkin dua, Grand Prix serantau akan mempunyai kesan yang besar terhadap kehadiran sukan tersebut di rantau Asia Pasifik. Namun begitu, hasil penyelidikan baru yang dijalankan oleh YouGov, salah sebuah firma penyelidikan terkemuka di dunia, mendapati bahawa populariti F1 tetap kukuh di rantau ini.

Secara keseluruhan, lebih separuh daripada responden di Asia Pasifik (54%) mengatakan bahawa mereka meminati F1. Sukan ini muncul sebagai sukan yang paling popular di Indonesia (62%), diikuti oleh Malaysia (58%). Sokongan juga kukuh di Hong Kong dan Vietnam, di mana 55% daripada kedua-dua populasi mengatakan bahawa mereka meminati sukan tersebut.

Sesuai dengan stereotaip jantina, F1 menarik minat lebih ramai lelaki; 61% lelaki yang meminati sukan tersebut berbanding 44% wanita. Hasilnya, lebih ramai lelaki berbanding wanita sebenarnya telah menonton perlumbaan sama ada di TV atau secara langsung di litar (80% dan 64%, masing-masing).

Orang ramai paling ingin melihat perlumbaan baru F1 berlangsung di Hong Kong, Bangkok, Sydney

Walaupun hanya 15% daripada orang yang pernah menonton perlumbaan F1 telah menonton secara langsung di litar, 71% daripada responden berminat untuk berbuat demikian. Salah satu daripada halangan terbesar kepada peningkatan kehadiran di kalangan penduduk Asia Pasifik ialah tiada perlumbaan yang cukup dekat dengan mereka. Jarak telah disebut oleh responden di China, Hong Kong, Thailand dan Vietnam sebagai punca nombor satu mengapa mereka tidak menghadiri perlumbaan F1 sebelum ini (dinyatakan oleh 57% daripada responden di China, 44% responden di Hong Kong, 49% responden di Thailand, dan 69% responden di Vietnam).

Untuk mereka yang tinggal berdekatan dengan tempat perlumbaan F1 berlangsung, kos merupakan halangan yang lebih besar dan disebut sebagai faktor terpenting oleh 42% responden di Australia, 62% di Malaysia, 50% di Indonesia dan 75% di Singapura.

Diharapkan bahawa mana-mana Grand Prix serantau yang tiada akan digantikan, walaupun tiada bandar tuan rumah baru diumumkan. Untuk mendorong pemikiran Bernie Ecclestone, YouGov bertanya kepada para responden di mana mereka paling ingin melihat perlumbaan F1 baru diadakan di Asia Pasifik. Tiga destinasi popular yang paling banyak disebut ialah Hong Kong (34% daripada mereka yang ditemu bual), Bangkok (28%), dan Sydney (23%).

Menganjurkan Grand Prix dilihat sebagai sesuatu yang positif kepada negara tuan rumah

Selain daripada membolehkan peminat untuk lebih mendekati sukan itu, penganjuran Grand Prix juga amat dihargai oleh para responden, yang percaya bahawa perkara yang positif untuk negara tuan rumah akan melebihi perkara negatif. Manfaat positif yang paling banyak dilihat apabila menjadi tuan rumah perlumbaan adalah peningkatan dari segi pelancongan (tersenarai sebagai positif oleh 86% responden), hiburan (79%), ekonomi keseluruhan (74%), dan kedudukan di peringkat antarabangsa (73%).

Hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan keputusan untuk menamatkan F1 di negara mereka

Tetapi gambaran adalah jauh berbeza di Singapura, yang mana persoalan tentang masa depan Grand Prix Singapura sentiasa menghantui. Walaupun hampir 70% daripada rakyat Singapura merasakan bahawa F1 telah menjadi satu perkara yang positif untuk negara mereka, hanya 57% yang mahu melihat ia berlangsung lagi pada tahun berikutnya.

Sementara itu, di Malaysia di mana F1 tidak akan diadakan lagi selepas 2018, hampir separuh daripada responden (46%) mengatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan keputusan ini.

Ferrari mengambil kedudukan utama di kalangan jenama F1

Tetapi F1 sejak sekian lama adalah lebih daripada sekadar sukan. Kereta laju, wang yang banyak, wanita cantik; berada di pusat tumpuan F1 adalah kedudukan yang paling dicemburui. Sebagai tambahan, penaja F1 mewakili beberapa jenama global yang paling didambakan.

Oleh itu, tidak hairanlah jenama yang paling dikaitkan dengan sukan ini adalah jenama kereta mewah Ferrari, yang diiktiraf oleh 56% daripada responden. Jenama lain yang berkait rapat dengan F1 adalah Red Bull, Shell dan Mercedes, masing-masing disenaraikan oleh 43%, 39% dan 39% daripada responden.

Pengiklanan F1 tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Pengiklanan tembakau berleluasa dalam F1 dan hubungan lama terjalin antara pengeluar rokok dan sukan tersebut telah lama tercatat dalam sejarah F1. Namun, berikutan tekanan daripada orang ramai dan perubahan sikap terhadap merokok, F1 memutuskan hubungannya dengan tembakau jenama beberapa tahun lalu. Perdebatan kini masih berterusan sama ada pengiklanan alkohol adalah sesuai.

Di seluruh Asia Pasifik, 42% daripada responden percaya bahawa pengiklanan alkohol dalam F1 adalah sesuai, berbanding 37% yang mengatakan sebaliknya. Pengecualian adalah Malaysia dan Indonesia, yang mana dua negara ini sahaja mempunyai lebih ramai responden yang yakin bahawa pengiklanan alkohol dalam F1 adalah tidak sesuai - dengan 54% daripada rakyat Malaysia dan 48% rakyat Indonesia yang ditemu bual mempercayai bahawa ia adalah tidak sesuai, berbanding 30% dan 31% yang merasakan ia adalah sesuai di negara-negara masing-masing.

Lihat keputusan penuh di sini

Data telah dikumpul daripada penyelidikan di kalangan ahli-ahli panel YouGov dan telah diambil sebagai wakil populasi dalam talian. Saiz sampel: Asia Pasifik (n = 9,275; Australia: 1,000; China: 1,005; Hong Kong: 1000; Indonesia: 1,001; Malaysia: 1,216; Filipina: 1,037; Singapura: 1,002; Thailand: 1,013; Vietnam: 1,001)