Keputusan pilihan raya presiden AS memberikan kejutan di seluruh APAC

Keputusan pilihan raya presiden AS memberikan kejutan di seluruh APAC
oleh

Penyelidikan baru YouGov mendedahkan kesangsian yang meluas terhadap kemenangan Trump, terutamanya di kalangan wanita dan golongan muda

Sama ada anda membenci atau menyukai beliau, kemenangan pilihan raya presiden AS yang diraih oleh Donald Trump menimbulkan sensasi media dengan mengejutkan ramai pengkritik dan mengalahkan Hillary Clinton untuk ke Rumah Putih. Dunia kini sedang menunggu dengan penuh debaran untuk melihat bagaimana beliau akan mengubah hubungan Amerika dengan seluruh dunia.

Walaupun butiran agenda dasarnya masih tidak menentu, sudah terdapat pendapat yang berbelah bahagi tentang impak daripada pemilihan Trump. YouGov, sebagai salah sebuah firma penyelidikan terkemuka, membuat tinjauan ke atas 7,777 orang antara 17 dan 26 November untuk mengetahui lebih lanjut tentang pendapat orang ramai di rantau Asia Pasifik tentang berita tersebut.

 

44% daripada responden APAC tidak mempunyai keyakinan terhadap Trump

Tinjauan YouGov mendapati bahawa keputusan pilihan raya presiden AS adalah tidak dijangkakan di APAC; 39% daripada penduduk menerangkan reaksi utama mereka terhadap berita tersebut sebagai terkejut. “Bimbang” merupakan emosi kedua paling umum di kalangan responden, yang dipilih oleh 21% daripada mereka di seluruh rantau tersebut. Ini berbeza dengan ketara di seluruh rantau tersebut; rakyat Australia adalah yang paling risau (29%), hampir tiga kali ganda daripada bilangan mereka yang berasa risau dengan kemenangan Trump di Thailand (10%).

Kebimbangan tentang Trump memegang jawatan presiden adalah meluas, dengan 44% daripada mereka di seluruh rantau tersebut mengatakan mereka sama ada “agak tidak yakin” atau “sangat tidak yakin” tentang tempoh pentadbiran bakal presiden tersebut. Kesangsian sedemikian meningkat sehingga separuh daripada penduduk di Australia (54%), Hong Kong (51%) dan Singapura (50%). Wanita terutamanya berasa tidak senang dengan pemilihan Trump, dengan 49% daripada wanita melahirkan raya tidak yakin terhadap Trump sebagai presiden baru AS, berbanding dengan 39% daripada lelaki.

Sebaliknya, rakyat Filipina adalah yang paling yakin dengan Trump memegang jawatan presiden, dengan 34% menerangkan diri mereka sama ada “sangat yakin” atau “agak tidak yakin”; jauh melebihi purata serantau sebanyak 21%. Rakyat Filipina juga berasa lebih optimistik berbanding purata penduduk APAC apabila mempertimbangkan kemungkinan impak sepanjang tempoh Trump menjadi presiden terhadap negara mereka sendiri; 26% daripada rakyat Filipina percaya pemilihan Trump akan memberikan impak positif, berbanding dengan purata serantau hanya sebanyak 16%.

 

 

Hampir separuh daripada golongan berusia 18-24 tahun percaya pemilihan Trump sebagai presiden akan memberi impak negatif kepada negara mereka

Perasaan bimbang mendominasi di Malaysia iaitu 58% daripada rakyat percaya pemilihan Trump sebagai presiden akan memberi kesan negatif kepada negara mereka.

Golongan muda turut berasa bimbang, dengan 49% daripada mereka yang berusia 18-24 tahun mengatakan pemilihan Trump sebagai presiden akan memberi impak negatif kepada negara mereka. Ini berkurangan mengikut umur dan adalah paling rendah di kalangan mereka yang berusia 55+, iaitu 36% daripada yang ditinjau percaya pemilihan Trump akan memberi impak negatif.  

 

Sekali lagi, wanita adalah lebih cenderung berbanding lelaki untuk berasa ragu-ragu tentang Trump memegang jawatan presiden; 45% daripada wanita yang ditinjau berpendapat kemenangan Trump akan memberi kesan negatif kepada negara mereka, manakala hanya 40% daripada lelaki berfikiran sedemikian.

Apa yang menarik, kebimbangan melangkaui sempadan mereka sendiri dan rakyat lebih bimbangkan impak kepada rantau berbanding kepada negara mereka sendiri. Perasaan negatif meningkat daripada 43% kepada 49% di seluruh rantau apabila ditanya tentang kesan daripada Trump bukan hanya untuk negara mereka sendiri tetapi juga kepada seluruh rantau Asia Pasifik. Ini adalah benar bagi setiap daripada 8 negara yang ditinjau tetapi paling menyerlah di Australia, di mana tanggapan bahawa Trump merupakan satu pengaruh negatif melonjak sebanyak 10 peratus daripada 41% kepada 51% apabila mempertimbangkan rantau tersebut dan bukan hanya negara mereka sendiri.

 

Dua daripada lima orang berpendapat Trump akan memberi impak paling besar kepada ekonomi

Pendapat adalah agak sepakat bahawa pertukaran presiden akan dirasai, tetapi bagaimana ini akan ditunjukkan dengan jelas adalah berbeza-beza mengikut negara. Apabila ditanya bidang mana yang orang ramai percaya Trump akan memberikan impak, ekonomi adalah pilihan paling biasa, disebut oleh 40% responden di APAC. Penduduk Australia adalah lebih cenderung berbanding yang lain di APAC untuk berasa bimbang tentang impak Trump terhadap alam sekitar, dengan 8% menyenaraikannya sebagai bidang yang Trump akan memberikan impak paling besar (dua kali ganda daripada purata serantau sebanyak 4%).

Kebimbangan keselamatan paling dirasai di Malaysia dan Vietnam, di mana 17% dan 16% daripada penduduk (masing-masing) menyebut bidang ini sebagai bidang yang akan menerima impak paling besar daripada pemilihan Trump. Sementara itu, hubungan antarabangsa mendominasi di Filipina, di mana 46% berpendapat impak Trump akan paling dirasai dalam bidang ini.

 

 

Kemenangan Trump telah merendahkan pandangan terhadap Amerika tetapi perubahan terhadap tabiat pengguna adalah terhad

Tetapi bukan hanya persepsi tentang impak Amerika di APAC sahaja yang sedang berubah, 45% peratus mengatakan keputusan pilihan raya presiden AS juga telah memberikan kesan negatif terhadap pendapat mereka tentang Amerika.  Sekali lagi, ia meningkat di kalangan wanita dan golongan muda, dengan 48% daripada wanita dan 51% daripada golongan berusia 18-24 tahun mengatakan keputusan pilihan raya tersebut telah memberikan impak negatif terhadap pendapat mereka tentang Amerika.

Sebahagian yang sama daripada mereka yang ditinjau (43%) mengatakan bahawa keputusan pilihan raya tersebut turut memberikan impak negatif terhadap rakyat Amerika.

Namun, ini kelihatannya tidak akan diterjemahkan kepada perubahan signifikan dalam tabiat pengguna. Hanya lebih satu pertiga daripada responden (36%) mengatakan mereka sama ada sangat kurang atau agak kurang berkemungkinan untuk melancong ke Amerika akibat daripadanya dan 44% daripada orang ramai mengatakan tidak ada apa-apa perbezaan bagi mereka.

Begitu juga, pengguna mempunyai beberapa rancangan untuk mengubah cara mereka berbelanja, dengan 65% mengatakan keputusan pilihan raya tersebut tidak akan memberi impak terhadap sama ada mereka akan membeli jenama Amerika. Rakyat Malaysia dan Indonesia adalah yang paling berkemungkinan besar akan mengubah tabiat perbelanjaan mereka, dengan 32% dan 27% masing-masing mengatakan bahawa mereka sama ada “sangat kurang berkemungkinan” atau “agak kurang berkemungkinan” untuk membeli jenama Amerika. Golongan muda juga lebih berkemungkinan akan mengubah rancangan beli-belah mereka, dengan 25% daripada mereka yang berusia 18-24 tahun sama ada akan “sangat kurang berkemungkinan” atau “sedikit kurang berkemungkinan” untuk membeli jenama Amerika.

 

Data telah dikumpul daripada penyelidikan di kalangan ahli-ahli panel YouGov sepanjang tempoh 17 hingga 26 November 2016 dan telah diambil sebagai wakil populasi dalam talian. Saiz sampel: Asia Pasifik (n = 7,770 dengan 51% lelaki dan 49% wanita; Australia: 1,020; Hong Kong: 997; Indonesia: 923; Malaysia: 922; Filipina: 1,055; Singapura: 983; Thailand: 925; Vietnam: 1,002)