Ibu bapa di Malaysia mempunyai pendapat yang berbeza tentang hukuman fizikal di sekolah-sekolah

Ibu bapa di Malaysia mempunyai pendapat yang berbeza tentang hukuman fizikal di sekolah-sekolah
by

Lapan daripada sepuluh mengenakan hukuman fizikal kepada anak-anak mereka

Walaupun hukuman fizikal masih sah di sekolah-sekolah Malaysia, para ibu bapa masih berbelah bagi sama ada ini adalah wajar atau tidak, penyelidikan terbaru YouGov mendedahkan.

Hampir separuh (47%) ibu bapa berpendapat bahawa hukuman fizikal harus dibenarkan di sekolah, dan satu daripada lima (20%) menganggap ia tidak wajar. Satu pertiga yang selebihnya (33%) masih tidak pasti. Para bapa lebih memihak kepada sekolah untuk menjalankan hukuman fizikal berbanding kaum ibu (58% vs. 36%). Demikian juga mereka yang menggunakan hukuman fizikal di rumah. Mereka lebih cenderung untuk memihak agar hukuman fizikal dilaksanakan di sekolah berbanding mereka yang tidak (50% vs. 36%).

Walaupun tidak semua ibu bapa bersetuju dengan hukuman fizikal di sekolah, majoriti (81%) menjalankan disiplin fizikal di rumah. Satu daripada lapan (12%) kerap melaksanakan ini, manakala satu pertiga (38%) pula kadang-kadang, dan baki tiga daripada sepuluh (31%) jarang-jarang melakukannya. Satu daripada enam (17%) tidak pernah menghukum anak mereka secara fizikal. 3% memilih untuk tidak menyatakan.

Lapan daripada sepuluh (85%) ibu bapa warga Malaysia pernah dikenakan hukuman fizikal semasa kecil. Data menunjukkan bahawa mereka yang membesar dengan hukuman fizikal jauh lebih cenderung untuk menjalankan hukuman yang sama kepada anak-anak mereka sendiri, berbanding mereka yang tidak (85% vs. 50%).

Walaupun tidak menyalahi undang-undang Malaysia bagi ibu bapa untuk mendisiplinkan secara fizikal anak-anak mereka, hampir satu daripada lima (18%) ibu bapa berpendapat ini adalah tidak wajar. Satu perempat (24%) berpendapat bahawa hukuman fizikal adalah penderaan bagi kanak-kanak.

Secara keseluruhan, majoriti (73%) ibu bapa berpendapat bahawa hukuman fizikal kadang-kadang adalah perlu. Tingkah laku yang para ibu bapa di Malaysia rasa paling wajar dikenakan hukuman fizikal adalah mencuri (63%), diikuti oleh membuli (54%) dan keganasan (51%).

Jake Gammon, Ketua Omnibus APAC di YouGov Omnibus mengulas: “Cara keibubapaan berbeza-beza, dan persoalan sama ada anak harus dikenakan hukuman fizikal merupakan salah satu persoalan yang cenderung mencetuskan perdebatan. Walaupun kelihatan kebanyakan ibu bapa di Malaysia selesa mendisiplinkan anak-anak mereka secara fizikal di rumah, mereka mempunyai pendapat yang berbeza sama ada ini harus dijalankan oleh sekolah-sekolah.”

***Keputusan berdasarkan 619 ibu bapa di Malaysia yang ditemu bual oleh YouGov Omnibus